Tuesday, 15 May 2018

Perjalanan Hidup di Asrama Anak² Asnaf










Bait Al-Hasanah,
Sebuah tempat yang telah menghijrahkan diri saya daripada sebuah lembah yang suram, naik ke puncak yang terang. Di sinilah saya dididik, diasuh untuk menjadi seorang insan yang berguna. Bilamana Ibu saya bertanyakn kepada saya, " wan nak masuk asrama tak? " Lalu dengan hati yang langsung tidak mengetahui apa-apa tentang 'asrama',  dengan selamba saya mengiyakan pertanyaan ibu saya.

Menjadi penghuni generasi pertama ketika berumur 11 tahun, sangatlah mencabar kerana usia sebegitu terlalu kecil bagi ibu saya, tetapi beliau tetap nekad menghantar saya ke sini kerana mungkin ibunda ada harapan yang agak tinggi untuk seorang anak lelakinya ini yang juga merupakan anak ke-5 daripada 8 orang adik beradik.

Bermulalah kisah saya di asrama dengan personaliti budak nakal yang sememangnya dibawa daripada tempat asal saya, Kg. Melayu Subang. Semasa orientasi lagi, saya telah lakukan pelbagai masalah. Kuku sahabat saya tertanggal dengan lumuran darah kerana gurauan yang saya lakukan ketika bermain-main dengan pintu bilik asrama.

Ketika pengisytiharan nombor matriks asrama, sekali lagi saya melakukan tabiat nakal saya bilamana ketika ustaz Abdul Rahman selesai membacakan nombor-nombor matriks pelajar, saya mengajuk percakapan ustaz. Tiba-tiba Ustaz Rahman memanggil pelajar yang mengajuk lalu rakan-rakan semua memetik nama saya, "safwan..." .Saya disuruh berdiri di hadapan pentas dewan dengan sebelah kaki diangkat ke belakang, lalu dirotan kaki saya sebanyak dua kali."Zapp"  Libasan kedua telah menyebabkan rotan itu hancur .Rakan-rakan semua dapat merasakan kesakitan saya tetapi sebenarnya, rotan itu sudah agak rapuh kerana mungkin ia telah lama digunakan.


Selepas peristiwa itu, tingkah laku saya selepas menetap di asrama semakin baik kerana Ustaz Rahman merupakan seorang warden yang sangat garang bahkan beliau merupakan seorang bekas Askar Wataniah. Ada juga ustaz yang sangat penyayang, bawa kami ke majlis kenduri di luar bahkan kadangkala, kami akan diminta untuk membuat persembahan nasyid di luar dan ustaz Ibrahim serta ustaz Rahman akan mengajar kami.

Semangat kesukanan kami juga terjaga dengan adanya Ustaz Nazri yang sangat meminati badminton dan bola sepak ketika itu. Sering juga ustaz beriadah bersama kami. Jadual harian kami dijaga dengan teratur oleh para warden yang mana gelaran mereka adalah 'ustaz'. Aktiviti rohani juga adalah yang paling diambil berat. Kami diajar untuk melaungkan azan, tahsin solat, berwirid serta zikir dan bacaan doa selepas solat.

Bahkan, seawal saya darjah 5,saya telah diberi kepercayaan untuk memimpin kebanyakan solat Fardhu. Berkenaan sekolah, saya diamanahkan sebagai ketua bas, untuk mengira bilangan pelajar setiap waktu pergi dan balik daripada asrama. Di sekolah juga, pelajar-pelajar asrama seringkali menjadi buah mulut para guru kerana sering terlewat ke sekolah, sering tidur di dalam kelas, bahkan kami pernah bergaduh beramai-ramai dengan pelajar-pelajar lain di sekolah kerana kebiasaannya mereka suka menghina latar belakang kami.

Walaupun begitu, pihak asrama tetap akan mengetahui berita-berita tentang kami daripada pihak sekolah. Setiap kali balik sekolah di waktu petang, kami wajib berkumpul di dewan dan para warden akan berkumpul sekali. Bagi yang melakukan kesalahan, akan dirotan dan pernah juga rakan-rakan saya didenda mengunyah bawang putih kerana tabiat buruk mereka yang suka mengejek nama ayah rakan-rakan.

Walaubagaimanapun, didikan beginilah yang menyebabkan kami lebih matang. Pada peperiksaan akhir tahun, keputusan peperiksaan saya agak memuaskan berbanding pelajar-pelajar lain. Maka, pada tahun seterusnya, ketika saya berumur 12 tahun, saya dilantik sebagai ketua asrama. Di sekolah pula, rakan-rakan saya mengajak saya menyertai badan pengawas di sekolah kebangsaan sedangkan sememangnya saya juga menjawat jawatan pengawas buat tahun kedua bagi sekolah agama.

Kepimpinan saya semakin bercambah daripada masa ke semasa. Rakan-rakan juga senang dengan perubahan diri saya. Saya selalu mencerminkan akhlak yang baik kepada rakan-rakan lain walaupun ramai juga rakan-rakan yang nakal sering bergaduh, membuli pelajar-pelajar lain, saya akan tampil untuk meredhakan keadaan.

Bahkan, setiap kali majlis anugerah pelajar, saya seringkali memenangi 'Anugerah Tokoh Pelajar'. Sepanjang 7 tahun saya di asrama, 4 kali saya memenangi anugerah tersebut yang mana ia hanya diadakan sekali setahun. Tahun demi tahun, penghuni asrama semakin bertambah, saya tetap terus menonjolkan akhlak dan budi pekerti yang baik kepada rakan-rakan baru. Tidak kira di asrama atau di sekolah, nama saya akan menjadi sebutan para guru dan warden bahkan ada yang memuji saya di khalayak ramai.

Apabila saya meningkat lebih matang iaitu di tingkatan 5, saya telah diberi kepercayaan untuk memimpin Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah. Saya semakin tegas dengan masalah-masalah disiplin pelajar, sehingga ada pelajar yang berdendam dengan saya, akan tetapi, kerana saya menampilkan akhlak sebagai seorang pemimpin yang baik, menjadikan pelajar-pelajar nakal tersebut untuk berubah dari masa ke semasa. Tidak lama selepas itu, berlaku pula peristiwa pahit dalam sejarah hidup saya, Ibunda saya dijemput Allah s. w. t. pada tanggal 2 April 2016 kerana penyakit strok dan 3 serangkai yang hampir 3 tahun dihidapinya, ini memerlukan saya menjadi lebih tabah dan berusaha untuk merealisasikan impian ibunda saya .

Kini, setelah tamat didikan di Bait Al-Hasanah,  saya menyambung pula pelajaran di Matrikulasi Selangor di Banting. Apabila saya rindukan asrama, saya akan ziarah para warden, kakitangan asrama dan paling penting adalah junior-junior saya. Bagi saya, Bait Al-Hasanah adalah medium terbaik untuk anak-anak asnaf berhijrah, kerana kita perlu ingat bahawa "Kemiskinan itu bukanlah suatu penyakit keturunan" . Usahalah, kerana Allah bersama-sama dengan kita selagi mana kita berada di atas jalannya bahkan, generasi kedua inilah, generasi kecemerlangan. Ayuh semua teruskan perjuangan,"Bismillah Fight! "

Karangan,
Alumni BHK 2010-2016
@Safwan Johar

FAITHFLEUR HAIRCARE

  PROJECT 1 SUBJECT NAME: COMPUTER APPLICATION IN MANAGEMENT SUBJECT CODE: MSS11503 LECTURER'S NAME: MISS NAZIRAH BINTI ABD HAMID COURSE...